Kepentingan Memasang ‘Dashcam’ Dalam Kenderaan

Sejak kebelakangan ini, dapat kita perhatikan bahawa ramai golongan masyarakat bertindak memasang ‘dashcam’ dalam kenderaan persendirian masing-masing. Pemasangan Dashboard Camera ataupun nama singkatannya ‘dashcam’ ini boleh dikatakan penting dan berguna bagi merakam semua perjalanan kita dan juga segala kejadian yang berlaku di atas jalan raya. Tidak dinafikan lagi bahawa pada masa kini, terdapat ramai pemandu yang tidak mengikut etika yang betul sebagai seorang pemandu dan pengguna jalan raya. Oleh itu, ‘dashcam’ adalah sangat berguna kepada orang ramai bagi tujuan keselamatan dan dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang kemalangan. Maka, disini kami ingin kongsikan dengan anda semua tentang beberapa kepentingan pemasangan ‘dashcam’ di dalam kenderaan persendirian.

Antara kepentingan ‘dashcam’ ini ialah untuk dijadikan bahan bukti pada masa akan datang. Kita tidak akan pernah dapat meramal apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Bayangkan jika anda terlibat dalam kemalangan namun anda pula dipersalahkan walaupun anda pasti itu adalah salah pengguna jalan raya yang lain. Anda tidak dapat menegakkan kebenaran tanpa sebarang bahan bukti untuk dipertontonkan kepada pihak berkuasa dan juga orang lain. Apabila adanya kewujudan ‘dashcam’ di dalam kereta anda, rakaman kejadian yang telah berlaku boleh dijadikan sebagai bahan bukti bagi anda membela diri pada masa akan datang. Penggunaan ‘dashcam’ ini boleh membantu anda dalam menyelesaikan masalah yang anda bakal hadapi di kemudian hari. Oleh itu, penggunaan ‘dashcam’ dapat membantu anda merakam setiap kejadian yang berlaku di atas jalan raya.

Selain itu, penggunaan ‘dashcam’ juga adalah sangat penting untuk anda mematuhi peraturan jalan raya. Sudah tentu, anda akan berfikir Panjang sebelum melanggar peraturan jalan raya apabila mengetahui bahawa kenderaan anda dipasang ‘dashcam’. Segala kelakuan anda di atas jalan raya dan perjalanan juga akan dirakam oleh ‘dashcam’ tersebut dan ia akan menjadi bahan bukti jika terjadi sesuatu sewaktu anda memandu. Jika setiap pemandu memasang ‘dashcam’ pada kenderaan mereka masing-masing, maka kemungkinan kemalangan atau pelanggaran peraturan jalan raya di dalam negara ini dapat dikurangkan. Hal ini kerana mereka akan berasa takut untuk melanggar sebarang peraturan apabila setiap perilaku di atas jalan raya dirakam. Oleh itu, pematuhan terhadap peraturan jalan raya dapat ditingkatkan dengan penggunaan ‘dashcam’ ini.

Namun, anda seharusnya membuat pemilihan yang bijak sewaktu membeli ‘dashcam’. Hal ini kerana, setiap ‘dashcam’ itu mempunyai kualiti yang berbeza. Perkara utama yang anda perlu perhatikan ialah paparan LCD pada ‘dashcam’ tersebut. ‘Dashcam’ yang dilengkapi dengan paparan LCD ini dapat memudahkan pemandu untuk menentukan arah rakaman sepanjang masa. Tambahan pula, pemandu dapat melihat rakam tidak kira waktu melalui paparan LCD tersebut tanpa menggunakan bantuan skrin komputer. Seterusnya, anda haruslah memilih ‘dashcam’ yang mempunyai fungsi GPS. GPS pada ‘dashcam’ ini berfungsi untuk merekod lokasi dan kelajuan anda secara automatik sewaktu video dirakam. Akhir sekali, anda hendaklah memilih ‘dashcam’ yang dapat memulakan rakaman secara automatik. Di pasaran, terdapat model ‘dashcam’ yang akan merakan secara automatik apabila enjin kenderaan dihidupkan dan akan menghentikan rakaman secara automatik setelah enjin dimatikan. Ini akan memudahkan pemandu kerana tidak perlu bersusah payah menghidupkan ‘dashcam’ sebelum memulakan pemanduan.

Kesimpulannya, penggunaan ‘dashcam’ tidaklah salah dari sisi undang-undang selagi anda tidak menggunakan rakaman tersebut untuk perkara yang terlarang. Terdapat banyak fungsi dan kepentingan ‘dashcam’ kepada orang ramai dan kita sebagai golongan masyarakat hendaklah lebih peka dengan teknologi semasa untuk kemudahan kita sendiri pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *