Tips Keselamatan Jalan Raya

Adakah anda sering kali terdengar berita tentang kemalangan di jalan raya? Mungkin di televisyen, di radio ataupun ianya telah terjadi di depan mata anda. Kemalangan di jalan raya sudah menjadi suatu perkara biasa yang terjadi hampir setiap hari. Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak berwajib. Namun, masih ramai lagi yang tidak mengendahkan tentang usaha-usaha untuk bersikap dengan lebih cermat ketika di jalan raya. Sikap prihatin dalam setiap pengguna jalan raya amat penting. Maka, kami akan kongsikan beberapa tips keselamatan jalan raya agar anda boleh mengelakkan diri daripada terlibat daripada kemalangan.

 

Antara tips keselamatan jalan raya ialah dengan memakai tali pinggang keledar pada setiap masa. memakai tali pinggang keledar dapat memberikan keselamatan bagi semua pengguna kenderaan. Tambahan pula, fakta yang mengejutkan adalah tali pinggang keledar dapat menyelamatkan nyawa lebih berkesan daripada beg udara. Ramai orang tidak menyedari perkara ini tetapi apabila mereka memakai tali pinggang keledar, mereka bukan sahaja menyelamatkan diri tetapi juga orang lain di jalan raya. Bayangkan, sekiranya kita terlibat dalam kemalangan kereta tanpa memakai tali pinggang keledar, badan kita akan tercampak kerana kesan besar dari kemalangan itu. Tali pinggang keledar bertujuan untuk melindungi badan manusia daripada tercampak ke hadapan sewaktu berlakunya perlanggaran. Sebilangan besar orang tidak mengetahui kekuatan yang dihasilkan semasa hentaman memberi tekanan yang besar pada badan dan mengakibatkan kecederaan yang lebih kritikal sekiranya mereka tidak memakai tali pinggang keledar.

 

Seterusnya, menjaga had laju sewaktu memandu. Seseorang pemandu hendaklah mematuhi had kelajuan maksimum yang telah ditetapkan. Bagi yang ingin memandu laju, sila pandu di lorong paling kanan. Memandu melebihi had laju yang telah ditetapkan boleh membahayakan keselamatan diri anda dan juga orang lain. Tinggi kemungkinan bahawa kemalangan akan berlaku jika anda bersikap cuai semasa berada di atas jalan raya. Janganlah anda beranggapan bahawa jalan akan sentiasa lenggang dan tiada kenderaan. Mungkin jalan di hadapan ada berlakunya kesesakan dan anda akan brek secara mengejut pada suatu masa nanti. Ini adalah merbahaya kerana jika anda tidak sempat untuk menekap pedal brek, anda akan melanggar kenderaan di hadapan dan perkara tersebut tidak dapat dielakkan lagi. Selain itu, keadaan jalan yang licin juga memerlukan pemandu untuk menjaga had kelajuan ketika hujan. Hal ini kerana kelajuan kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan berlakunya hilang kawalan dimana kenderaan akan terbabas dan kemalangan terjadi.

 

Akhir sekali, elakkan daripada mengunakan telefon bimbit semasa memandu. Penggunaan telefon pintar sewaktu memandu amat merisaukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehinggakan mereka meletakkan ianya sebagai salah satu punca berlakunya kemlangan jalan raya. Sikap pemandu yang cuai ini boleh menyebabkan bahaya kepada diri sendiri dan juga orang lain. Hal ini kerana mereka tidak menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap jalan raya kerana melakukan dua perkara dalam satu masa. Minda manusia tidak boleh fokus terhadap banyak perkara dalam satu masa sahaja. Maka, jika seseorang pemandu menggunakan telefon pintar semasa memandu, pemanduan mereka akan terganggu dan boleh menyebabkan sesuatu kemalangan yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, kemalangan yang merbahaya boleh terjadi sekiranya pemandu menggunakan telefon pintar semasa memandu.

 

Kesimpulannya, aspek keselamatan merupakan perkara yang amat penting semasa berada di atas jalan raya. Tidak kira anda adalah pemandu atau penumpang, segala aspek keselamatan jalan raya perlulah dititik beratkan agar perjalanan menjadi lebih selamat. Langkah berhati-hati perlulah diambil untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan juga orang lain pada masa akan datang. Elakkan melakukan perkara yang tidak sepatutnya sewaktu berada di atas jalan raya dan jadilah pengguna yang berhemah. Seperti slogan yang selalu kita dengari “biar lambat, asal selamat”.